Sunday, October 26, 2008

Deklarasi Janda Baik

DEKLARASI JANDA BAIK

Memandangkan keadaan politik negara yang gawat, cabaran dan gugatan terhadap kepimpinan Melayu yang lemah oleh pihak-pihak tertentu, dari dalam dan luar negara serta keadaan ekonomi dunia yang kucar kacir dewasa ini, maka KAMI, para penulis, wartawan dan blogger yang prihatin terhadap nasib Bangsa, Agama dan Tanah Air, yang bersidang di Janda Baik, Pahang mengambil sikap dan pendirian seperti berikut:-

1. KAMI mendesak dan menuntut agar para pemimpin Melayu dari berbagai fahaman politik mengembelengkan tenaga, kerjasama dan buah fikiran demi mempertahankan keluhuran dan kekeramatan PERLEMBAGAAN MALAYSIA TANPA KOMPROMI
.
2. KAMI memberi amaran kepada para pemimpin politik Melayu dari semua fahaman ideologi agar jangan menjadi pemimpin Pak Pandir yang hanya menang sorak tetapi kampung halaman dan negara terjual kepada pihak asing.

3. KAMI juga memberi amaran keras kepada pihak-pihak tertentu yang memainkan sentimen perkauman dan mempertikaikan HAK ISTIMEWA MELAYU sepertimana yang termaktub dalam PERLEMBAGAAN NEGARA agar jangan mencetuskan permusuhan antara kaum, antara agama dan antara budaya oleh kerana mereka menganggap kepimpinan Melayu lemah dan boleh diperdagangkan untuk memenuhi agenda perkauman mereka.

4. KAMI juga memberi amaran keras kepada para pemimpin Melayu, khasnya UMNO, agar mereka jangan menjadi pengkhianat BANGSA, AGAMA DAN TANAH AIR hanya kerana didorong oleh nafsu kekayaan kebendaan, kuasa yang dipinjamkan Allah, hingga melupai tanggungjawab mereka terhadap generasi Melayu akan datang.

5. KAMI menggesa seluruh umat Melayu yang menjadi para pejuang BANGSA, AGAMA DAN TANAHAIR tanpa mengira aliran politik agar memilih barisan pemimpin mereka yang terbaik dan bersih dari korupsi, berbagai skandal yang memalukan, yang berwibawa, berilmu dan berjiwa dinamik untuk menerajui kerajaan dan badan-badan amanah lainnya.

6. KAMI memberi peringatan dan teguran ikhlas bahawa UMNO mesti melakukan revolusi mental dan perombakan pemikiran yang dekaden, konservatif, materialistik yang melampau, anti ilmu, berpuak-puak, mementingkan diri, kaum keluarga dan para kroni hingga sanggup memperjudikan nasib BANGSA, AGAMA DAN TANAHAIR
.
7. KAMI memberi amaran keras dan peringatan yang tulus ikhlas bahawa kepimpinan UMNO yang lemah, korup, rakus dan gila kuasa boleh menggerhanakan masa depan generasi muda Melayu dan rakyat yang telah memberikan sokongan mereka sejak 51 tahun UMNO memimpin kerajaan Malaysia.

8. KAMI juga ingin mengingatkan para pemimpin Melayu yang berkuasa agar jangan terlalu banyak berkompromi dengan golongan-golongan tertentu yang mempunyai agenda tertentu untuk melemahkan kepimpinan Melayu.

9. KAMI juga ingin mengingatkan para pemimpin Melayu yang berkuasa bahawa kelemahan kekuasaan politik Melayu akan membawa kehancuran dan penghapusan kuasa orang Melayu di bumi Malaysia yang bertuah ini.

10. KAMI menyeru dan menggesa rakyat Melayu bertindak proaktif dalam berbagai bidang kehidupan untuk menjamin kekuasaan politik Melayu tidak terhakis dan ketuanan Melayu dan Islam kekal subur selagi ada matahari dan bulan

11. KAMI merafak sembah memohon agar Duli-duli Yang Maha Mulia Raja-Raja Melayu mempertahankan kedaulatan baginda seperti mana yang termaktub dalam PERLEMBAGAAN MALAYSIA dengan memberi sokongan moral kepada perjuangan umat Melayu dan Islam dalam berbagai lapangan hidup. Perlulah dihayati kedaulatan dan kedudukan Raja-Raja Melayu akan berterusan sekiranya rakyat Melayu dan umat Islam memperjuang dan mempertahankan institusi Raja tersebut.

12. KAMI dengan penuh takzimnya memohon Duli-duli Yang Maha Mulia Raja-Raja Melayu dan kaum kerabat baginda agar jangan mengkhianati dan melakukan sesuatu tindakan yang boleh menjejaskan institusi Raja dan melukai perasaan umat Melayu yang mempertahankan institusi Raja selama ini.

13. KAMI juga menyeru kepada kerajaan agar melaksanakan KEADILAN dan TANGGUNGJAWAB sebagai pemerintah kepada semua rakyat Malaysia tanpa mengira kaum memandangkan Malaysia negara majmuk.

14. KAMI ingin memberi peringatan kepada bukan Melayu agar berpegang teguh pada kontrak sosial dan PERLEMBAGAAN NEGARA demi menjaga keharmonian hubungan antara kaum serta kesejahteraan dan keamanan yang kita sama-sama mempertahankannya.

15. KAMI yakin dan percaya bahawa Kebebasan suara Rakyat dan amalan Demokrasi mestilah dipertahankan oleh kerana rakyat yang memberi mandat dan amanah kepada parti-parti politik tertentu untuk berkuasa. Oleh hal demikian KAMI akan bekerjasama dengan siapa saja, dan dari golongan mana sekali pun, demi memperjuangkan hak dan kebebasan Rakyat serta amalan Demokrasi di bumi Malaysia yang bertuah ini.

Inilah deklarasi yang tulus ikhlas yang KAMI abadikan sebagai cetusan rasa dari buah fikiran KAMI demi memperjuangkan hak dan kepentingan Rakyat, Keamanan dan Kesejahteraan Negara Malaysia.

KAMI rakamkan cetusan hati nurani Rakyat yang bernama DEKLARASI JANDA BAIK, bertempat di kediaman Sdr Syed Hussein Al-Attas, bertarikh 26 Oktober 2008.

9 comments:

Che Moq™ said...

salam Cheguman,

Che Moq menyokong baik deklarasi yang diisytiharkan para senior bloggers yang arif dan serius untuk membela nasib dan hak kita sebagai bumiputera melayu yang mempunyai kuasa mutlak dan hak keistimewaan di tanah air malaysia. kita berhak bersuara dan para pemimpin yang korup dan tiada semangat kepimpinan harus sedar bahawa sekeping deklarasi mampu membangkitkan semangat dan roh perjuangan melayu ke satu tahap yang lebih tinggi.

Cheguman said...

Demang setuju dengan Che Moq. Satu amaran kpd bakal pemimpin UMNO yg 'lupa & lalai'

Sudah sampai masanya bloggers bersatu sebagai satu kumpulan pemikir dlm usaha membina negara.

yiemega said...

Saya menyokong dengan sepenuh hati terhadap Deklarasi Janda Baik yang telah dikeluarkan ini.

Cheguman said...

Ada sahabat blogger yg pertikaikan kejujuran beberapa org yg terlibat dlm pembinaan deklarasi ini. Bagi Demang, kita ketepikan sebentar sebarang perbezaan sebelim ini dan fokus pada fakta yang dikemukakan.

Sememangnya sebahagian besar perkara yg dikemukakan dalam deklarasi ini adalah perkara yg sama yg kita perjuangkan.

Ambillah kesempatan ini untuk bersatu dlm perkara asas dan jadikan perbezaan sebagai satu kelebihan kita dalam melihat sesuatu isu dari perbagai sudut.

Cheguman said...

Kepada yang bukan melayu,
Perjuangan orang melayu-bumiputra sebenarnya adalah bagi mempertahankan hak yang telah dipahatkan ddalam perlembagaan negara setelah dipersetujui bersama menjelang kemerdekaan kita dulu.

Umat Islam dilarang keras untuk mengambil hak orang lain dan wajib bagi orang Islam untuk berlaku adil kepada semua pihak tanpa mengira bangsa dan agama.

Semoga pembetulan ke atas agihan kekayaan negara ini akan mengukuhkan lagi perpaduan dan kestabilan politik negara yang kita cintai ini.

Semoga perjuangan melayu-bumiputra tidak lagi disalahanggap sebagai usaha merampas hak kaum lain untuk diberikan kepada orang melayu-bumiputra.

Kepada semua pemimpin melayu,
Sebarang penyelewengan dan ketidakadilan yang dilakukan samada ke atas orang melayu -bumiputra atau bukan melayu adalah pengkhianatan yang nyata kepada negara. Kami para penulis dan blogger tidak akan teragak-agak memperbetulkan anda dengan 'kuasa' yang kami ada. Mungkin kuasa kami tak seberapa, namun kami akan lakukannya bersama-sama.

Kepada semua penulis & bloggers melayu,
Bersatulah kerana di situlah punca kekuatan kita. Gunakan komputer dengan sebaik mungkin. Jika sebuah syarikat boleh berbangga dengan "Intel inside" pada komputer mereka, maka berbanggalah dengan komputer kita yang mempunyai "iman inside".

Salam perpaduan.

Che Moq™ said...

salam cheguman,

kesangsian segelintir para blogger terhadap deklarasi ini seperti segelintir orang melayu yang senantiasa menggunakan senjata tunggu dan lihat dan bukan untuk berjuang. adakah kita akan maju dengan hanya sentiasa membangkang, mengata belakang dan mengutuk di blog?

kita tidak boleh hanya berdiam diri. perjuangan kita harus diteruskan agar perjuangan pemimpin dan pahlawan silam yang gugur mempertahankan melayu dan islam terus mekar tanpa diganggu gugat mana-mana kaum yang ingin menggoyahkan hak kita sebagai tuan tanah melayu.

bersamalah kita berjuang dari hanya mengomel dan membangkang.

Che Moq™ said...

Ucapan terima kasih kepada cheguman yang mengambil inisiatif sendiri untuk mewujudkan blog khas tidak rasmi bagi deklarasi yang akan memberi semangat kepada bloggers untuk berjuang.

Cheguman said...

Che moq,
Terima kasih. Langkah proaktif akan meletakkan kita selangkah di hadapan.

Betul kata sdra, jangan asyik membangkang & mempertikaikan. Ketika kita masih bertengkar, org lain dah jauh ke depan.

Soul said...

harharhar dok sanjung sangat sistem demokrasi nih naper? suka sangat ngan sistem yang dibawa oleh yahudi/nasrani nih, sistem Allah tak best ker? Allah tak reti buat sistem untuk manusia hidup kat muka bumi nih ker? Sistem Khilafah yang dihancur oleh yahudi/nasrani tuh kita naik kan balik.

Blog Penyokong Deklarasi